Monthly Archives: May 2011

Program Santai Pagi Bersama Wanita Klang

Pada 24 Aril 2011, Wanita ISMA cawangan Klang telah menganjurkan Program Santai Pagi Bersama Wanita Klang. Program ceria dan berkonsepkan kekeluargaan ini telah dihadiri seramai 26 orang wanita dari seluruh pelusuk Klang dan telah berlangsung di Pejabat ISMA Klang yang baru dibuka beberapa minggu yang lalu.

Program ini dimulai dengan aktiviti penyucian rohani iaitu mengalunkan zikir munajat dan solat Dhuha secara  berjemaah. Seterusnya, jiwa para peserta terus diisi dengan tazkirah yang mengguntur jiwa bertajuk ‘Cinta Akhirat” yang disampaikan oleh Ustazah Noriah Yusoh, Ketua Wanita ISMA cawangan Klang. “Kita Yaqin Semua Mati”, inilah penekanan yang diberi dalam tazkirah tersebut yang akan menjadi bekalan kepada peserta dalam menjalani kehidupan dunia yang sementara ini.

Program ini turut disertakan aktiviti yang amat sinonim dengan wanita, iaitu memasak. Terdapat tiga resepi lazat yang dapat dikongsi bersama iaitu Kuih Tako, Muffin Coklat dan Kek Batik. Suasana menjadi riuh rendah apabila peserta sangat gembira apabila melihat bekas Kuih Tako mereka menjadi yang diajar oleh Ukhti Che Teh Rahmah.  Setelah itu, Ukhti Nooraini Saad berkongsi resepi Muffin Coklat yang mudah, jimat, cepat dan sedap bersama peserta. Seterusnya, resepi Kek Batik yang berasaskan biskut marie telah dikongsi oleh Ustazah Zaleha Abdul Latif. Program ini turut diserikan dengan acara cabutan bertuah.

Program ini berakhir pada kira-kira pukul 12.15 tengahari. Alhamdulillah,  diharapkan program sebegini dapat mengeratkan ukhuwah antara wanita ISMA dengan wanita Klang di samping mengajak mereka kembali kepada mengamalkan Islam secara sempurna.

Rumah Baru

Laman web ini adalah kesinambungan dari laman web ISMA Klang yang lama iaitu di http://ismaklang.posterous.com/