Monthly Archives: December 2013

UMAT ISLAM : JANGAN SEPERTI KERBAU DICUCUK HIDUNG!

29 Disember 2013 : Naib Yang Di Pertua Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Klang hari ini mengingatkan kepada semua umat Islam di Malaysia agar tidak menjadi seperti kerbau yang dicucuk hidung. Beliau memetik firman Allah swt dari surah Al-Araf ayat 179 yang menyeru manusia agar menggunakan penglihatan, pendengaran dan juga hati yang dianugerahkan oleh Allah swt dalam menilai apa sahaja perkara yang berlaku di negara ini terutama yang melibatkan ancaman kepada agama, bangsa dan negara. Beliau berkata demikian dalam salah sebuah siri Kempen Selamatkan Ummah yang dianjurkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Klang yang berlangsung di Dewan masjid India Klang pagi semalam. Dalam program yang dihadiri lebih 150 orang tersebut beliau menekankan akan pentingnya kekuatan dan kesatuan tindakan di kalangan umat islam di Malaysia untuk membantah dan seterusnya menguburkan permohonan ‘COMANGO’ yang jelas merupakan satu bentuk pengkhianatan kepada kedaulatan Islam di Malaysia.

Image

Naib Yang DiPertua ISMA Klang, Ust. Mohd Pathan Hussain

            Seruan kesepakatan menolak ‘COMANGO’ yang dijadikan misi dalam siri-siri Kempen Selamatkan Ummah ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari peserta –peserta yang hadir. Hampir kesemua peserta menurunkan tandatangan mereka dalam petisyen menolak COMANGO yang diedarkan. Terdapat juga para peserta yang berhubung dengan urusetia program dan menawarkan diri untuk sama- sama berusaha mendapatkan  tandatangan menolak ‘COMANGO’. Program ini juga turut mendapat sokongan dari mereka yang bukan beragama Islam yang turut sama hadir mendengar penjelasan berkenaan isu ini.

            Yang Dipertua ISMA cawangan Klang Tuan Hjai Zainuddin Ghaffar dalam sesi ceramah beliau dalam majlis yang sama turut menekankan bahawa ISMA akan terus berusaha untuk menyedarkan masyarakat dengan senario ancaman yang berlaku pada seluruh umat islam di Malaysia. Beliau juga turut menyeru peserta program agar turut bersama- sama dengan ISMA untuk mempertahankan kedaulatan Agama Islam di tanah air tercinta ini.

Image

Antara barisan tetamu yang hadir.

            Timbalan presiden ISMA, Tuan haji Aminuddin Yahya  yang turut menyampaikan ceramah dalam siri ke- dua Kempen Selamatkan Ummah anjuran  ISMA Cawangan Klang turut menyeru keseriusan NGO-NGO Islam dan juga pihak kerajaan dalam usaha  untuk berhadapan dengan pengkhianatan  COMANGO ini.

            Siri Kempen selamatkan Ummah kali ini ditamatkan dengan pelawaan kerjasama dari pihak ISMA klang kepada para peserta yang ingin menganjurkan program penerangan ancaman terhadap Islam di Malaysia di kawasan mereka. Kepada mereka yang berminat untuk penganjuran bersama Kempen Selamatkan Ummah ini bolehlah terus menghubungi Tuan Haji Zainuddin Ghaffar di talian 013-3747 3018.

 

Advertisements

PMR YANG BERLALU

Suasana yang cukup meriah pastinya berlaku di semua sekolah menengah di seluruh Malaysia hari ini. Apakan tidak, hari ini merupakan hari dimana keputusan Penilaian Menegah Rendah ( PMR ) diumumkan. Ada yang menjerit kegembiraan dan ada yang menangis kerana terlalu gembira. Mungkin juga ada yang sedih dan muram menerima keputusan masing-masing. Ucapan tahniah diucapkan kepada semua calon PMR yang telah berusaha dan mempersiapkan diri untuk menduduki peperiksaan ini.
Sesungguhnya pada setiap usaha yang telah dicurahkan pasti ada nilainya di sisi Allah swt. Begitu juga ganjaran pahala yang pastinya menjadi ganjaran dari Allah swt. Firman Allah swt dalam surah Yunus ayat ke 61 yang bermaksud :

…dan tidaklah kamu wahai umat manusia dalam mengerjakan sesuatu amal usaha, melainkan adalah kami menjadi saksi terhadap kamu ketika kamu mengerjakannya. Dan tidak akan hilang lenyap dari pengetahuan tuhanmu sesuatu dari sehalus atau seringan-ringan yang ada di bumi atau di langit, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu dan tidak ada yang lebih besar melainkan semuanya tertulis di dalam kitab yang terang yang nyata.      
  Surah Yunus : 61

Untuk mereka yang berjaya mendapatkan keputusan yang cemerlang marilah kita sama – sama melihat bagaimana islam mengajar kita untuk meraikannya. Dalam surah an – Nasr apabila umat islam berjaya membuka semula kota Makkah maka Allah mengajarkan umat islam pada waktu itu untuk meraikan kemenangan dengan memperbanyakkan tasbih dan memuji Allah swt. Tidak cukup sekadar itu kemenangan juga harus diraikan dengan memperbanyakkan istigfar kepadaNya. Janganlah kiranya kejayaan dan kemenangan ini diraikan dengan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan islam. Patutkah kita menukar kemenangan yang datangnya dengan rahmat dan nikmat dari Allah swt itu dengan amal perbuatan kita yang mengundang pula kemurkaan Allah?
Bagi mereka yang tidak berjaya mencapai keputusan yang dihajati ayuh kita sama-sama renungkan pujukan dari Allah swt dalam surah Al_Imran ayat ke 140 yang bermaksud :

“dan demikian itulah keadaan hari-hari di dunia ini dengan peristiwa kemenangan atau kekalahan, kami gilirkan dia antara sesama manusia supaya menjadi pengajaran dan supaya nyata apa yang diketahui Allah terhadap orang – orang yang tetap beriman dan yang sebaliknya….”  

Beranilah berhadapan dengan hakikat kekecewaan ini dan inilah sebenarnya masa dan saat yang terbaik untuk kita menilai semula samada kadar usaha yang kita keluarkan selama ini bertepatan dengan pencapaian yang kita inginkan atau tidak. Beranilah juga untuk merancang masa depan yang baharu dengan lebih serius dan beranikanlah juga diri untuk berubah dari sikap yang biasa – biasa yang diamalkan sebelum ini kepada sikap luar biasa yang lebih mengarah kepada kecemerlangan.

Agenda selepas ini?
 Teruskanlah agenda membina peribadi. Bentuklah diri kita dengan acuan dari al-quran :

 “Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama Islam yang kami telah sebati dengannya ialah : celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak islam. Dan siapakah yang lebih baik celupannya dari celupan Allah?”        
 Surah Al-Baqarah : 138

Sesungguhnya umat ini sedang menanti akan lahirnya generasi yang mampu mengangkat kembali kedaulatan Islam. Perbaharuilah motivasi anda, tempalah keiltizaman dengan pengalaman – pengalaman generasi terdahulu. Perkasakanlah jatidiri kerana itulah yang memastikan anda akan sentiasa tetap di jalanNya.
“ Kamu adalah sebaik- baik ummat yang dilahirkan bagi ummat manusia kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang dari segala perkara yang mungkar serta kamu benar-benar beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman”.  

KELAB REMAJA ISMA CAWANGAN KLANG : KOMITED MEMBANGUN REMAJA UNGGUL

KJDDM3

9 DISEMBER 2013, Banting : Seramai 138 orang remaja yang merupakan peserta Program Kem Jatidiri Da’i Muda 2013 hari ini pulang ke pangkuan keluarga masing-masing dengan semangat dan keiltizaman yang tinggi untuk sentiasa berusaha memperbaiki diri. Program anjuran Kelab Remaja Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Klang itu berlangsung selama 3 hari 2 malam di  Kem El Azhar, Banting.  Dalam pogram ini peserta disajikan dengan pelbagai aktiviti lasak seperti ‘Mud Walk’ dan juga ‘High Rope’ yang mampu membina keyakinan dan jatidiri yang teguh dalam mengharungi masalah dan cabaran remaja masa kini. Tidak lupa juga pengisian rohani seperti slot-slot pengisian dan juga Qiamulail(solat malam ) yang merupakan intipati utama kepada program Kem Jatidiri Da’i Muda ini.

                   Menurut salah seorang peserta kem ini, adik Hafizah dari SMK Jenjarom, aktiviti – aktiviti dalam kem ini telah banyak memberikan pengalaman baru yang amat berharga buat dirinya. Apa yang tidak dapat dilupakan beliau ialah aktiviti malam kesenian dan kebudayaan Islam di mana dalam aktiviti ini beliau menyatakan betapa sebenarnya kebudayaan dan kesenian Islam juga turut mempunyai kelebihan yang tersendiri sehingga membuatkan beliau mampu mengalihkan minat beliau dari irama K-Pop kepada kesenian dan kebudayaan Islam.

KJDDM1

                     Dalam perasmian penutup program yang di rasmikan oleh Yang Di Pertua Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Klang Tuan Haji Zainuddin bin Ghaffar beliau mengingatkan remaja agar sentiasa berpegang kepada petunjuk Al – Quran dan Sunnah Rasulullah SAW supaya mereka sentiasa dapat memelihara diri mereka dari anasir – anasir yang tidak sihat. Beliau turut mengingatkan kepada peserta akan bahaya ancaman terhadap Islam masakini terutamanya ancaman Kristianisasi dan juga fahaman Syiah yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.

                     Salah seorang penjaga yang ditemubual selepas program ini turut merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kelab Remaja ISMA Cawangan Klang atas penganjuran program yang sangat bermanfaat ini. Beliau turut mendoakan agar Kelab Remaja ISMA Cawangan Klang terus istiqomah dalam menganjurkan program-program pembangunan remaja seperti program Kem Jatidiri Da’i Muda ini.

KJDDM4

                      Pengarah Kelab Remaja ISMA Cawangan Klang, Saudari Nor Azilah bt Ibrahim turut merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas kerjasama yang ditunjukkan oleh semua ahli jawatankuasa Ikatan Muslimin Malaysia Cawangan Klang dalam penganjuran program ini. Tidak lupa juga sanjungan budi dikalungkan kepada semua ahli- ahli jawatankuasa Kelab Remaja ISMA Cawangan Klang dan para fasilitator yang bertungkus lumus dalam menjayakan program ini. Beliau menambah sebagai sebuah agensi yang komited dalam soal pembangunan remaja, Kelab Remaja ISMA sentiasa mengalu-alukan pandangan dan cadangan daripada masyarakat untuk membolehkan ianya menjadi sebuah pusat pembangunan remaja yang diyakini masyarakat.