PMR YANG BERLALU
Suasana yang cukup meriah pastinya berlaku di semua sekolah menengah di seluruh Malaysia hari ini. Apakan tidak, hari ini merupakan hari dimana keputusan Penilaian Menegah Rendah ( PMR ) diumumkan. Ada yang menjerit kegembiraan dan ada yang menangis kerana terlalu gembira. Mungkin juga ada yang sedih dan muram menerima keputusan masing-masing. Ucapan tahniah diucapkan kepada semua calon PMR yang telah berusaha dan mempersiapkan diri untuk menduduki peperiksaan ini.
Sesungguhnya pada setiap usaha yang telah dicurahkan pasti ada nilainya di sisi Allah swt. Begitu juga ganjaran pahala yang pastinya menjadi ganjaran dari Allah swt. Firman Allah swt dalam surah Yunus ayat ke 61 yang bermaksud :
…dan tidaklah kamu wahai umat manusia dalam mengerjakan sesuatu amal usaha, melainkan adalah kami menjadi saksi terhadap kamu ketika kamu mengerjakannya. Dan tidak akan hilang lenyap dari pengetahuan tuhanmu sesuatu dari sehalus atau seringan-ringan yang ada di bumi atau di langit, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu dan tidak ada yang lebih besar melainkan semuanya tertulis di dalam kitab yang terang yang nyata.
Surah Yunus : 61
Untuk mereka yang berjaya mendapatkan keputusan yang cemerlang marilah kita sama – sama melihat bagaimana islam mengajar kita untuk meraikannya. Dalam surah an – Nasr apabila umat islam berjaya membuka semula kota Makkah maka Allah mengajarkan umat islam pada waktu itu untuk meraikan kemenangan dengan memperbanyakkan tasbih dan memuji Allah swt. Tidak cukup sekadar itu kemenangan juga harus diraikan dengan memperbanyakkan istigfar kepadaNya. Janganlah kiranya kejayaan dan kemenangan ini diraikan dengan melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan islam. Patutkah kita menukar kemenangan yang datangnya dengan rahmat dan nikmat dari Allah swt itu dengan amal perbuatan kita yang mengundang pula kemurkaan Allah?
Bagi mereka yang tidak berjaya mencapai keputusan yang dihajati ayuh kita sama-sama renungkan pujukan dari Allah swt dalam surah Al_Imran ayat ke 140 yang bermaksud :
“dan demikian itulah keadaan hari-hari di dunia ini dengan peristiwa kemenangan atau kekalahan, kami gilirkan dia antara sesama manusia supaya menjadi pengajaran dan supaya nyata apa yang diketahui Allah terhadap orang – orang yang tetap beriman dan yang sebaliknya….”
Beranilah berhadapan dengan hakikat kekecewaan ini dan inilah sebenarnya masa dan saat yang terbaik untuk kita menilai semula samada kadar usaha yang kita keluarkan selama ini bertepatan dengan pencapaian yang kita inginkan atau tidak. Beranilah juga untuk merancang masa depan yang baharu dengan lebih serius dan beranikanlah juga diri untuk berubah dari sikap yang biasa – biasa yang diamalkan sebelum ini kepada sikap luar biasa yang lebih mengarah kepada kecemerlangan.
Agenda selepas ini?
Teruskanlah agenda membina peribadi. Bentuklah diri kita dengan acuan dari al-quran :
“Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama Islam yang kami telah sebati dengannya ialah : celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak islam. Dan siapakah yang lebih baik celupannya dari celupan Allah?”
Surah Al-Baqarah : 138
Sesungguhnya umat ini sedang menanti akan lahirnya generasi yang mampu mengangkat kembali kedaulatan Islam. Perbaharuilah motivasi anda, tempalah keiltizaman dengan pengalaman – pengalaman generasi terdahulu. Perkasakanlah jatidiri kerana itulah yang memastikan anda akan sentiasa tetap di jalanNya.
“ Kamu adalah sebaik- baik ummat yang dilahirkan bagi ummat manusia kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang dari segala perkara yang mungkar serta kamu benar-benar beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman”.
Posted on December 20, 2013, in Uncategorized. Bookmark the permalink. Leave a comment.
Leave a comment
Comments 0