Rahmat dalam mentauhidkan Allah: Menyanggah faham liberal dalam memahami konsep rahmat seluruh alam.

     Kritikan puak-puak pejuang liberalisme berbangsa
Melayu terhadap tindakan JAIS merampas ratusan
Bible yang mengandungi kalimah Allah baru-baru ini
dikatakan bersandarkan kepada prinsip-prinsip Islam
dalam hubungannya dengan orang bukan Islam.
Antara yang sering diutarakan ialah ayat 107 daripada
Surah al-Anbiya´, yang bermaksud, ¨Dan tiadalah
Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad),
melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian
alam¨ , ayat 256 daripada Surah al-Baqarah, yang
bermaksud, ¨Tidak ada paksaan dalam ugama
(Islam)¨ dan ayat 125 daripada Surah an-Nahl, yang
bermaksud, ¨Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai
Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan
nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah
dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan
cara yang lebih baik¨ .
Isu JAIS bukan yang pertama, bahkan ketiga-tiga ayat
di atas sering dijadikan hujah untuk menyokong
pendirian mereka, antara lain dalam isu hukuman
terhadap orang murtad, isu nama suci Allah, isu tahaluf
siyasi dan lain-lain. Seolah-olah agama Islam ini
hanya berkisar pada ketiga-tiga ayat itu, ataupun lebih
tepat lagi mereka hanya mahu merujuk kepada tiga
ayat itu sahaja. Mereka bercakap tentang konsep
hubungan Islam dengan bukan Islam dan berpada
dengan tiga ayat ini.
     Bagaimana pula pandangan mereka terhadap ayat 29
daripada Surah Taubah, yang bermaksud, ¨Perangilah
orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan
tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula
tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan
oleh Allah dan RasulNya, dan tidak berugama
dengan ugama yang benar, iaitu dari orang-orang
yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani),
sehingga mereka membayar “Jizyah” dengan
keadaan taat dan merendah diri¨ dan ayat 123
daripada surah yang sama, yang bermaksud, ¨Wahai
orang-orang yang beriman! Perangilah orang-orang
kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu; dan
biarlah mereka merasai sikap kekerasan (serta
ketabahan hati) yang ada pada kamu; dan
ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang
yang bertaqwa (dengan memberikan
pertolonganNya)¨ .
     Artikel ini tidak bermaksud mahu menghuraikan konsep
Jihad dalam Islam, yang antara lain ayat-ayat
pentingnya ialah ayat 29 dan 123 Surah Taubah di
atas. Tidak juga mahu menyenaraikan ayat-ayat Wala´
dan Bara´, yang begitu banyak, yang merupakan asas-
asas penting apabila kita membincangkan topik
hubungan Islam dengan bukan Islam. Kedua-duanya
berkaitan hubungan dengan bukan Islam. Kedua-
duanya memerlukan tajuk penulisan khusus dan artikel
ini bukan untuk tujuan itu.
    Apa yang ingin diutarakan ialah kecenderungan mereka
untuk mengambil satu atau dua ayat yang boleh
menyokong pendirian yang telah diputuskan terlebih
dahulu, tanpa melihat kepada keseluruhan ayat-ayat
lain yang menyentuh tentang prinsip Islam dalam
konteks hubungannya dengan bukan Islam . Perkara ini
bertambah buruk apabila penafsiran terhadap satu atau
dua ayat itu juga tidak menyeluruh, tanpa merujuk
kepada kitab tafsir muktabar dan tanpa mengambil kira
urutan ayat sebelum dan selepasnya.
Ibnu Abbas diriwayatkan berkata dalam menafsirkan
ayat 107 Surah al-Anbiya´ itu, ¨Sesiapa yang mengikut
Baginda maka baginya rahmat di dunia dan akhirat.
Sesiapa yang tidak mengikut Baginda (kufur), maka
rahmatnya ialah tidak diseksa dengan ditelan bumi dan
dihujani batu dari langit seperti kaum terdahulu¨ .
Riwayat Ibnu Abbas ini kita temui dalam setiap kitab
Tafsir Tabari, Ibnu Kathir dan Qurtubi. Mari kita
perhatikan pula kata-kata al-Allamah Ibnul Qaiyim al-
Jauziah tentang perselisihan pendapat ulamak tentang
ayat ini; adakah seluruh alam itu bermaksud orang-
orang mukmin sahaja atau keseluruhan manusia?
Kata al-Allamah Ibnul Qaiyim, ¨bahawa seluruh alam
secara umumnya mendapat manfaat daripada
pengutusan Baginda. Adapun pengikut-pengikut
Baginda (orang-orang yang beriman) maka mereka
mencapai kemuliaan dunia dan akhirat. Adapun
musuh yang memerangi Baginda maka penyegeraan
pembunuhan dan kematian mereka adalah lebih baik
daripada mereka hidup, kerana hidupnya mereka
bermakna bertambah kuat azab ke atas mereka di
akhirat kelak sedangkan mereka telah diputuskan
mendapat kecelakaan, maka penyegeraan kematian
mereka adalah lebih baik bagi mereka daripada
panjang umur dalam kekufuran. Adapun Muahadun
(Ahli Zimmah) maka mereka dapat hidup di bawah
naungan, perjanjian dan jaminan Baginda, dan nasib
mereka tidak seburuk orang yang memerangi
Baginda disebabkan perjanjian Zimmah itu¨ .
Jelas daripada riwayat Ibnu Abbas itu bahawa sifat
rahmat itu tiada kena mengena dengan isu berlembut
dalam isu penguatkuasaan undang-undang dalam
negara Islam. Ibnul Qaiyim pula jelas menumpukan
rahmat ke atas rakyat bukan Islam dalam negara Islam
berasaskan perjanjian mereka sebagai rakyat. Antara
perjanjian itu ialah mematuhi undang-undang dan
peraturan yang sah, yang dikuatkuasakan oleh
pemerintah. Jelas sekali larangan penggunaan kalimah
Allah merupakan undang-undang dan peraturan yang
sah, yang mesti dipatuhi oleh seluruh rakyat.
Lebih jelas lagi apabila kita ikuti penegasan Allah
Taala dalam ayat berikutnya, iaitu ayat 108 yang
bermaksud, ¨ Katakanlah: “Sesungguhnya yang
diwahyukan kepadaku (mengenai ketuhanan ialah)
bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang bersifat
Esa, maka adakah kamu mahu menurut apa yang
diwahyukan kepadaku?”
Kata Syed Qutb dalam Fi Zilal al-Quran mengulas ayat
108 ini, ¨Sesungguhnya inilah unsur tonggak rahmat
dalam risalah (Baginda) itu. Unsur tauhid mutlak, yang
menyelamatkan manusia daripada waham jahiliyah,
daripada beban keberhalaan, daripada tekanan waham
dan khurafat. Tauhid yang mendirikan kehidupan di
atas asasnya yang kukuh, maka ia mengikat kehidupan
dengan alam wujud keseluruhannya berdasarkan
undang-undang alam yang jelas dan tetap, bukan
berdasarkan hawa nafsu dan kecenderungan syahwat.
Tauhid yang menjamin bagi setiap insan keupayaan
untuk berdiri tegak dan tidak tunduk kecuali kepada
Yang Maha Esa Yang Maha Perkasa.
Inilah jalan rahmat, ¨maka adakah kamu mahu
menurut apa yang diwahyukan kepadaku?¨. Itulah
satu soalan yang Rasulullah S.A.W. diarahkan agar
melontarkannya kepada mereka yang mendustakan
dan mengejek Baginda.
Allah S.W.T. tidak mengutuskan Rasulullah S.A.W.
melainkan kerana kasih sayang dan rahmat-Nya ke
atas umat manusia yang sesat tanpa tauhid. Akidah
tauhid adalah hakikat sebenar rahmat yang dibawa
oleh Rasulullah S.A.W. Konsep Rahmatan lil Alamin
tidak boleh difahami dalam kerangka humanisme Barat
dan pluralisme agama yang menyamaratakan antara
tauhid dan syirik.
     Bagaimana pula jika saya utarakan tentang pendirian
para fuqahak Hanafiah, Hanabilah dan Syafieyah yang
sepakat melarang Ahli Zimmah daripada menzahirkan
syiar agama mereka di khalayak ramai, di luar rumah
ibadat mereka, kecuali di kawasan penempatan
didominasi oleh mereka. Pendirian para fuqahak itu
bukan kerana syiar agama bukan Islam itu sendiri,
akan tetapi atas sebab lain iaitu bagi mengelakkan
berlakunya fitnah dan kemudaratan ke atas akidah
umat Islam. Jika pengharaman itu kerana syiar agama
bukan Islam itu sendiri, sudah tentu para fuqahak
melarangnya tanpa ada sebarang pengecualian. Ertinya
kebebasan agama wujud di situ, tetapi dalam batas
yang dibenarkan. Soalnya ialah adakah mereka melihat
bahawa pendirian para fuqahak ulung yang melarang
syiar agama bukan Islam itu bertentangan dengan
semangat ayat 107 daripada Surah al-Anbiya´? Jika
jawapannya ya, bermakna puak-puak liberal
mendakwa lebih memahami al-Quran berbanding
ulamak muktabar Islam.
     Tiada siapa yang menyanggah kebebasan iktikad dan
kepercayaan bagi rakyat bukan Islam di negara ini. Ia
merupakan hak rakyat bukan Islam yang diiktiraf oleh
Islam. Bagaimanapun kebebasan itu tertakluk pada
undang-undang dan peraturan yang dikenakan oleh
pemerintah yang tanggungjawabnya ialah untuk
menjaga kemaslahatan umat Islam dan menjauhkan
mereka daripada kemudaratan.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan
Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-82
yang bersidang pada 5 – 7 Mei 2008 telah memberi
keputusan. Majlis Syura Ulamak PAS juga telah
memberi keputusan. Keputusan Mahkamah Rayuan
juga telah diketahui. Apalah gunanya undang-undang
jika tiada penguatkuasaan.
     Tetapi pejuang liberalisme sememangnya
menggunakan kaedah sanggah dan persoal
setiap tindakan pihak berotoriti dalam agama.
Mereka akan kembangkan dan budayakan sikap
anti terhadap pihak berkuasa agama
terutamanya di kalangan anak muda.
Pendekatan mereka ini berpunca daripada
fahaman mereka yang menghadkan konsep
kerajaan itu hanya pada menyediakan pra
sarana awam, petugas kehakiman dan petugas
keselamatan. Pihak berkuasa agama tidak
diperlukan, kerana yang demikian itu pada
mereka sudah campur tangan dalam hak
kebebasan individu.
     Peristiwa pihak JAIS merampas beratus naskhah Bible
berbahasa Melayu dan Iban baru-baru ini bukan saja
telah dimanipulasi oleh politikus-politikus tertentu
untuk meraih sokongan orang Kristian, bahkan reaksi
kepada peristiwa itu turut menzahirkan pengaruh
liberalisme dan pluralisme agama dalam kenyataan
yang dikeluarkan oleh kalangan Islamis. Keghairahan
untuk meraih sokongan bukan Islam menyebabkan Dr
Mujahid secara sedar mahupun tidak sedar
menggunakan hujah-hujah yang sering digunakan oleh
puak-puak pejuang liberalisme dan pluralisme agama.
Kesimpulannya, membawa ayat 107 daripada Surah al-
Anbiya´ sebagai satu hujah menyanggah tindakan
penguatkuasaan JAIS adalah tidak kena pada
tempatnya. Bahkan ayat itu dipergunakan demi meraih
sokongan bukan Islam dan menjustifikasikan
pendekatan berbaik sangka dengan bukan Islam dan
sebaliknya berburuk sangka sesama Islam. Perkara ini
amat jelas dalam kenyataan Dr Mujahid yang disiarkan
dalam Kinitv, apabila beliau menegaskan tiada agenda
Kristianisasi dalam penggunaan kalimah Allah oleh
pihak Kristian, sebagai satu sikap sangka baik
terhadap bukan Islam, tetapi sebaliknya menuduh
bahawa larangan penggunaan kalimah itu untuk tujuan
kepentingan politik lawan semata-mata, satu sikap
sangka buruk tanpa mengambil kira pendapat lebih
80% umat Islam negara ini yang tidak bersetuju
penggunaan kalimah itu oleh bukan Islam. Bahkan
sangka buruk melampau itu telah membelakangkan
keputusan Majlis Syura Ulamak PAS sendiri.

Dipetik dari :

http://ustazhazizi.wordpress.com/2014/01/12/rahmat-dengan-mentauhidkan-nya/

Ustaz Hazizi Abdul Rahman merupakan ketua unit latihan dan kepimpinan Ikatan Muslimin Malaysia.

Posted on January 12, 2014, in Uncategorized. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: