Detik-detik negara Islam dihancurkan

image

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 217 :

“Mereka sentiasa berusaha memerangi kamu sehingga mereka dapat memalingkan kamu dari agama kamu jika mereka mampu berbuat demikian.”

Penjelasan yang benar ini adalah dari Allah Yang Maha Mengetahui dan Maha Mendalam ilmu-Nya. Ia mendedahkan keazaman kaum musyrikin yang degil untuk meneruskan kejahatan mereka, dan untuk menindas kaum Muslimin kerana agama mereka, kerana penindasan itu merupakan satu-satunya matlamat yang tetap bagi musuh-musuh mereka, iaitu satu matlamat yang tidak berubah bagi musuh-musuh Islam di mana-mana negeri dan dalam mana-mana generasi manusia.

[ Tafsir Fi Zilalil Quran, Syed Qutb ]

Hakikat pertembungan ini telah jelas disebut di dalam Al-Quran, dan juga jelas dilihat dengan sejarah yang panjang permusuhan kuffar terhadap Islam yang tidak akan sesekali berhenti sehinggalah Kiamat. Saya ingin membawa pembaca semua untuk kita bersama mengimbas kembali tragedi-tragedi kejatuhan negara milik umat yang dipetik dari kitab At-Tarikh Al-Andalusi oleh Dr Abd Rahman Ali Al-Haji, Ad-Daulah Al-Uthmaniyyah oleh Dr Ali Muhammad As-Solabi dan Haadir Al-‘Alam Al-Islami oleh Dr Taufiq Yusuf Al-Waie untuk diambil iktibar dalam survival umat Islam masa kini :

1. Andalusia

Andalusia merupakan tanah air umat Islam yang telah dibuka oleh Tariq bin Ziyad pada tahun 711, negara Islam telah tertegak di tanah ini selama 781 tahun sehinggalah dihancurkan pada tahun 1492. Sejarah Islam Andalusia berakhir apabila tumbangnya Kota Granada ke tangan Raja Ferdinand V, Raja Kristian Sepanyol ketika itu. Permulaan kejatuhan Granada apabila satu-satunya raja Islam yang tinggal di Andalusia setelah semua kerajaan Islam dihancurkan iaitu Sultan Muhammad bin Yusuf bin Al-Ahmar memeteraikan perjanjian dengan Raja Ferdinand III yang dinamakan Perjanjian Jaen pada tahun 1246 kerana tiada pilihan lain disebabkan kota Granada sudah dikepung tentera Kristian.

Perjanjian ini telah menyebabkan Sultan Ibn Al-Ahmar kehilangan wilayah Jaen, Arjona, Porcuna, Priego, Higuera dan La Frontera dan hanya memiliki Granada di bawah penguasaannya. Baginda juga terpaksa membayar ufti kepada Raja Ferdinand III sebagai jaminan keselamatan. Dalam tempoh 246 tahun selepas itu tentera Kristian telah melanggar perjanjian dengan menyerang umat Islam hinggalah pada tahun 1492, Sultan Abu Abdullah yang merupakan raja terakhir Granada telah mengaku kalah dan menyerahkan Granda kepada tangan Raja Ferdinand V. Selepas kejatuhan itu umat Islam di Granda dibunuh secara beramai-ramai.

2. Turki Uthmaniyyah

Empayar Turki Uthmaniyyah adalah sebuah sejarah yang panjang, rumusan yang telah dibuat oleh Dr Ali Muhammad As-Solabi mengenai kejatuhannya adalah seperti berikut :

“Salah satu sunnah Allah yang jelas dapat dilihat melalui sejarah ialah apabila orang yang mengenali Allah menderhakai Allah, Allah akan membiarkan orang yang tidak mengenali Allah menguasai mereka. Oleh kerana itu, orang Kristian berjaya menguasai umat Islam. Umat ini telah menyimpang jauh daripada fahaman agama yang sebenar seperti aqidah kesetiaan  dan ketulusan, pengertiaan ibadat dan budaya syirik, bidaah dan khurafat berleluasa.

Penyimpangan paling dahsyat yang berlaku dalam sejarah umat Islam adalah munculnya golongan sufi sesat sebagai suatu kuasa terancang dalam masyarakat Islam. Mereka membawa kepercayaan, fikiran dan ibadat jauh daripada Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah. Pengaruh sufi sesat ini semakin kukuh pada zaman terakhir Empayar Uthmani. Golongan sesat semakin bertapak kukuh terutama selepas kehadiran penjajah Kristian yang mencengkam umat Islam. Sebagaimana biasa, golongan ini sentiasa membantu dan menjadi musuh yang setia kepada musuh Islam. Golongan sesat yang utama ialah Syiah Dua Belas, Druze, Nasiri, Ismaili, Qadiani, Bahai dan banyak lagi golongan sesat yang mendakwa sebagai Islam.”

3. Palestin

Kronologi Nakbah (malapetaka atau penjajahan) Palestin juga merupakan suatu sejarah yang panjang, dua peristiwa utama yang ingin saya tekankan adalah Deklarasi Balfour 1917 dan pengkhianatan British dan PBB melalui ‘ketetapan 181’.

Deklarasi Balfour merupakan sebuah surat bertarikh 2 November 1917 daripada Setiausaha Luar British Arthur James Balfour kepada pemimpin Yahudi British Lord Rothschild untuk dikirimkan kepada Persekutuan Zionis British dan Ireland. Surat ini menggambarkan kedudukan yang diambil oleh Kabinet British seperti yang dipersetujui semasa mesyuarat pada 31 Oktober 1917. Ia juga menyatakan deklarasi ini sebagai isyarat “simpati kepada aspirasi Zionis Yahudi”. Deklarasi ini kemudiannya disiarkan secara umum pada 9 November 1917 dan menjadi kenyataan rasmi dasar kerajaan British menyokong penubuhan negara orang Yahudi di Palestin. Ini merupakan usaha yang paling jahat dalam sejarah peradaban dunia kerana dengan jelas ianya mencabuli perjanjian antarabangsa.

Penubuhan sebuah negara untuk Yahudi di Palestin disokong penuh oleh kerajaan British dan PBB. Pada 29 November 1947 sidang pleno PBB telah mengeluarkan ‘ketetapan 181′ yang mengakibatkan 2/3 tanah negara Palestin telah dibahagikan kepada pendatang Yahudi manakala bakinya yang hanya 1/3 keluasan tanah pula diberikan kepada penduduk asal Palestin yang sah. Kesan peristiwa ini menyebabkan penduduk Palestin terus dinafikan hak untuk bersuara. Liga Negara Arab pula gagal membantu perjuangan rakyat Palestin bagi mempertahankan hak-hak asasi mereka dalam mempertahankan kedaulatan negara Palestin yang telah mereka diami sejak 4500 tahun lamanya.

Akhirnya pada 14 Mei 1948 yahudi Zionis dengan angkuhnya telah membuat pengumuman penubuhan negara Israel dan secara rasminya pada 15 Mei 1948 negara haram Israel telah diisytiharkan. British telah mengundurkan tenteranya dari Palestin selepas pengisytiharan itu berlaku. Kesan dari penubuhan ini ialah pasukan tentera pengganas Yahudi Zionis yang telah bertindak kejam mengusir lebih daripada 60% rakyat Palestin iaitu lebih kurang 800,000 ke luar negara manakala 30,000 yang lain telah diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka.

4. Bosnia Herzagovina

Orang Islam di Bosnia tinggal di kawasan tengah selatan Yugoslavia. Mereka mendiami kawasan dari sungai Vardar hingga pergunungan Sar Planina di tenggara Sungai Sava dan Sungai Una di barat laut. Mereka turut berkongsi tanah itu dengan kaum Serb, Croat, penduduk Montegerano, bangsa Alban dan penduduk Macedonia. Pada kurun ke-18 telah tercetusnya peperangan getir antara Empayar Austria dan negara-negara Uthmaniyyah. Tentera kepada Empayar Austria terdiri daripada kaum Serb, Croat dan penduduk Montegerano menentang orang Islam Bosnia yang mewakili Uthmaniyyah. Setelah tentera Uthmaniyyah berundur maka bermulalah penghapusan etnik yang dahsyat terhadap orang Islam Bosnia.

Sejarawan Serb, Stofan Novakovitch menyatakan : “Operasi pembersihan kaum Turki (warga Bosnia yang tinggal di Serbia dinamakan sebagai orang Turki) di Belgrade berlangsung selama dua bulan bagi menentang orang Islam di Belgrade. Serb memasuki kota tersebut pada 8 Januari 1807 dan memusnahkan banyak masjid, sekolah dan kubur. Bilangan orang Islam di Bosnia yang sebelumnya di Serbia pada tahun 1830, dianggarkan seramai 50,000 orang. Apabila Serbia memperolehi pemerintahan autonomi, ia memutuskan orang Islam mesti meninggalkan Serbia. Oleh itu, dalam satu tahun, lebih 20,000 orang telah meninggalkan negara itu. Dalam persidangan antarabangsa Kanikila, orang Islam di Montenegro diwajibkan memeluk Kristian. Orang Islam yang dipaksa menganut Kristian tersebut telah dibaptis dalam satu majlis keraian besar-besaran dengan dihadiri oleh sejumlah besar pegawai polis dan pendeta agama.”

Kejatuhan Empayar Uthmaniyyah dan penjajahan Austria dan Hungary ke atas tanah umat Islam Bosnia bererti perubahan kepada cara hidup orang Islam di sana. Mereka menjadi sebahagian dari tamadun barat. Orang Islam merasa diri mereka dalam kehilangan dan nasib mereka tidak diketahui. Tiada pilihan di hadapan mereka kecuali berhijrah ke Turki, sehinggakan 1/3 bilangan penduduknya telah sampai ke Turki, atau ke negara lain di Timur Tengah.

Operasi penghapusan paling mengerikan berlaku pada permulaan November 1924 di perkampungan Sohubich dan Bavinobolia di wilayah Bilowabolia. Penduduk Montenegro telah membunuh 6,000 orang Islam dalam satu malam. Badan manusia yang masih hidup dipotong kepada beberapa bahagian, mata dikorek, telinga dipotong dan anggota dalaman badan seperti perut dikeluarkan. Tanda salib dilakarkan di atas badan menggunakan pisau. Mereka yang lari daripada penyembelihan ini berhijrah ke utara Bosnia, Turki dan Albania.

Kemuncak penyembelihan umat Islam Bosnia berlaku pada tahun 1992. Akhbar New York Times menyiarkan bilangan orang Islam yang terbunuh dalam perang sahaja berjumlah 200,000 orang. Mereka yang disembelih juga menyamai bilangan ini. Sementara mereka diusir dari kampong halaman melebihi 1.5 juta orang. Tujuan kekejaman ini ialah menghapuskan bangsa ini secara keseluruhan tanpa meninggalkan walaupun seorang. Ketua Majlis Syeikh Bosnia menyiarkan seruan berikut dalam Suara Amerika :

“Kami tahu secara yakin, tragedi yang menimpa kami pada hari ini merupakan perkara yang telah berlaku di Andalus. Bahkan kami melihatnya lebih dahsyat, kerana ia berlaku di hadapan tontonan seluruh dunia. Agensi-agensi berita membawa paparan kejadiannya sejam demi sejam dan minit demi minit. Namun begitu, dunia yang mengaku bertamadun dan berperikemanusiaan sedikitpun tidak bergerak untuk berbuat sesuatu. Penghapusan terus berlaku secara terang-terangan.”

5. Kashmir

Kashmir terletak di timur laut Pakistan. Ia berjiran dengan dengan India di sebelah tenggara, China di sebelah timur laut, Soviet Union di sebelah barat laut dan Pakistan di sebelah barat daya. Bilangan penduduk Kashmir melebihi 12 juta orang dan 85% adalah orang Islam. Penduduknya bukan berasal dari etnik India, kerana mereka berkulit putih dan bersaiz tinggi. Bahasa mereka juga bukan mirip bahasa India. Ramai pemimpin terkemuka di benua India berasal daripada wilayah ini. Antaranya ialah pemikir agung Islam, Muhammad Iqbal.

Era Islam di Kashmir bermula pada akhir kurun ke 14, apabila seorang raja Buddha, Rinchan Sha memeluk Islam. Baginda menamakan dirinya dengan Shodruddin. Ramai pengikut dan penduduk wilayah tersebut yang memeluk Islam bersamanya. Pemerintahan Islam berterusan di sana sehingga tahun 1819 apabila ia ditakluk oleh golongan Sikh. Pada tahun 1846, penjajah Britain menakluki wilayah itu, kemudian menjualnya kepada puak Dugra Hindu dengan bayaran harga sebanyak 7.5 juta rupee. Kontrak penjualan wilayah ini tidak mempunyai tempat dari aspek perlembagaan mahupun akhlak.

Pembahagian benua India terbahagi kepada dua negara yang merdeka iaitu negara Islam Pakistan dan negara sekular India, ini adalah menurut pelan pembahagian yang menetapkan seluruh kawasan yang majoriti Islam akan diserahkan kepada Pakistan, manakala semua kawasan majoriti Hindu akan diserahkan kepada India. Berdasarkan persetujuan ini, sepatutnya Kashmir digabungkan ke dalam Republik Islam Pakistan malangnya ia tidak berlaku. Ini kerana wilayah Kashmir sebelumnya diperintah oleh Maharaja Gulab Singh. Sekalipun dia seorang Hindu, namun penduduk wilayah tersebut majoritinya adalah beragama Islam. Maharaja Gulab Singh mengambil beberapa langkah yang menyingkapkan niatnya yang tidak mahu menyertai Pakistan. Ini tidak pelik kerana mana mungkin dia ingin bergabung di bawah pemerintahan sebuah republik Islam sedangkan dia seorang kafir.

Ketika itu, orang Islam di wilayah Jammu-Kashmir menyedari niat pemerintah mereka yang tidak mahu menyertai Pakistan sebagaimana persetujuan pembahagian benua India. Dalam situasi genting itu lahir Gerakan Pembebasan Wilayah Jammu-Kashmir yang dipimpin oleh Persidangan Umat Islam Wilayah Jammu-Kashmir. Tujuan gerakan ini adalah untuk menyelamatkan wilayah Islam itu dari cengkaman raja Hindu dan bergabung dengan Pakistan. Gerakan ini ditubuhkan pada 19 Julai 1947. Di samping itu, para pemuda wilayah tersebut memutuskan untuk berjihad membebaskan negeri mereka. Mereka telah berjaya memerdekakan sebahagian wilayah Kashmir dan mengasaskan kerajaan merdeka wilayah Jammu-Kashmir pada 24 Oktober 1947.

Pada tahun 1990, kerajaan Hindu mengambil langkah keras untuk menamatkan jihad rakyat Kashmir. Mereka menggunakan segala jenis senjata pembunuhan tanpa sebarang belas kasihan atau simpati. Mereka membunuh ribuan nyawa tidak berdosa dan angkatan tenteranya merogol ramai wanita, membakar ratusan tempat kediaman dan harta. Mereka juga menangkap ribuan pemuda, meruntuhkan masjid-masjid dan mengenakan perintah darurat 24 jam dan kadangkala berlarutan sehingga dua minggu. Sehingga kini Kashmir hanyalah sebuah wilayah yang telah hilang kedaulatan dan tanahnya dipecahkan dibawah tiga pemerintahan iaitu Pakistan, India dan China.

Penutup

Ini hanyalah sebahagian dari penderitaan yang ditanggung oleh umat Islam di seluruh dunia akibat hilangnya Khilafah Islamiyyah yang menaungi umat. Umat Islam di Malaysia seharusnya mengambil sebanyak mungkin pengajaran dari sejarah pertembungan tamadun Islam-kuffar dalam menghadapi ancaman pelbagai pihak di dalam negara mahupun tekanan antarabangsa. Kita perlu bijak memahami percaturan antarabangsa oleh musuh Islam, mereka kini tidak perlu menghantar tentera untuk merosakkan bangsa sesebuah negara, cukuplah mendoktrin generasi yang dengan sendirinya akan melaksanakan agenda penjajahan tersebut, kemudian barulah umatnya disembelih.

Ahmad Nu’man Mazlan
Ketua Biro Dakwah ISMA Jordan

Posted on January 15, 2014, in Uncategorized. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: