Marilah bersama-sama menjayakan misi mulia sempena Aidiladha tahun ini dan merebut ganjaran pahala di sisi Allah.
KEM JATI DIRI DA’I MUDA KEMBALI
Buat kesekian kalinya Kelab Remaja ISMA Cawangan Klang bakal menganjurkan Program Kem Jatidiri Da’i Muda 2013 yang bakal berlangsung pada 7-9 Disember 2013. Bagi tahun 2013 ini, Kem El-Azhar, Morib telah dipilih sebagai tempat program yang bakal menyajikan aktiviti yang mencabar serta mampu membina keperibadian seorang da’i.
Secara umumya kem ini bertujuan untuk melahirkan peribadi islami di kalangan remaja yang berpegang teguh dengan perintah Allah swt. Ia juga berperanan untuk memberi pendedahan kepada para peserta mengenai ancaman-ancaman yang bakal mereka hadapi dalam kehidupan alaf ini.
Pihak Kelab Remaja ISMA Cawangan Klang berharap agar program ini dapat berjalan dengan lancar dan mampu memberikan input-input yang positif kepada peserta. Kepada mereka yang berminat bolehlah menghubungi nama-nama penyelaras peserta yang tertera di poster di atas untuk keterangan lanjut.
Seminar Belajar Power!
TARIKH: 15 JANUARI 2012
TEMPAT: PEJABAT ISMA KLANG
NO 9-2, PUSAT PERNIAGAAN RAYA BARAT, 41100 KLANG
YURAN: RM10 SAHAJA !!!
ANJURAN: KELAB REMAJA ISMA (KRIM)
IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA (ISMA)
CAWANGAN KLANG
Dari Abdullah bin Abbas, Rasulullah bersabda:“Menuntut ilmu itu wajib ke atas setiap orang Islam.” (HR. At- Tabarani, Status: Sahih).
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud;
…Allah mengangkat kedudukan orang-orang yang berilmu beberapa darjat & Allah Maha teliti apa yang kamu kerjakan.” (58:11)
Antara pengisian menarik
1) Mempelajari teknik belajar berkesan
2) Membina peribadi positif
3) Membentuk jatidiri Muslim
Marilah sertai beramai-ramai!
Jalan-jalan Jumpa Ahli
TANJUNG KARANG , 2 Jan – Pembukaan tahun baru untuk 2012 dimulakan dengan menjenguk ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang berada di daerah Kuala Selangor semalam.
Beliau pernah terlibat dengan Biro Media Pulau Pinang.
Ziarah ini diketuai oleh Saudara Alias Awang, Naib Yang Dipertua ISMA Klang yang turut disertai oleh Saudara Zainudin Ghafar, Yang Dipertua ISMA Klang, Ustaz Sulaiman dan Ustaz Mohammad Ali.
Beliau adalah Saudara Zulzahmi, berasal dari Terengganu, anak ke-2 dari 4 orang adik beradik dan kini sedang menjalani latihan dalam bidang perubatan di klinik-klinik kesihatan sekitar Tanjung Karang. Beliau berumur 26 tahun dan masih bujang lagi.
Dalam perbualan selama sejam disertai dengan sarapan pagi, bakal doktor ini memberitahu bahawa bidang kedoktoran ini masih lagi kritikal kerana seorang doktor terpaksa merawat seribu pesakit walaupun berkemungkinan di masa hadapan angka ini akan berkurangan.
Pihak penziarah merasakan ahli ISMA ini sangat bersemangat dalam mendalami jurusan perubatan walaupun mungkin rakan sebayanya yang lain sudah berada di alam pekerjaan.
Didoakan moga beliau berjaya dalam bidang yang dipilihnya.
Pertahan Islam Sebagai Agama Persekutuan
BANTING, 21 Dis – Ust Maad Makkah, ketua rombongan Komitee Dakwah Khusus Gerakan Islam Minangkabau, Sumatera Barat Indonesia berulangkali menegaskan “Malaysia sangat beruntung kerana agama Islam diiktiraf sebagai agama persekutuan. Berbanding dengan Indonesia, Pancasila adalah yang paling tinggi mengatasi segala agama. Walaupun penduduknya majoriti Islam tetapi agama Islam diletakkan sama taraf dengan agama kristian dan agama-agama lain. Oleh itu bila perlakunya gerakan kristianisasi yang agresif seperti ini, tiada tindakan penguatkuasaan yang kuat boleh digerakkan oleh kerajaan kerana itu adalah hak kebebasan setiap agama.”
Ingatan itu disampaikan oleh beliau dalam ceramahnya pada 16hb Disember 2011, bertempat di kariah Masjid Bandar Ehsan, Bukit Changgang, Banting, Selangor. Program yang dianjurkan oleh Syukbah Banting ISMA Klang telah mendapat sambutan baik dari kalangan kariah masjid. Di kesempatan itu juga, ISMA Klang melalui Yang Dipertuanya, En Zainuddin Ghafar diberikan sesi khas untuk mempromosi aktiviti ISMA yang akan dijalankan sepanjang tahun 2012.
Daerah Mentawai yang terdiri daripada 4 buah pulau iaitu Siburu, Sipura, Pagai Utara & Pagai Selatan didiami oleh 70,000 orang penduduk.
Pada tahun 1997, 80% penduduk adalah Muslim. Namun, disebabkan oleh gerakan kristianisasi yang hebat, menjelang tahun 2011, iaitu dalam masa 14 tahun, muslim hanya tinggal 18% sahaja.
Antara cabaran daei untuk menghadapi gejala kristianisasi yang berlaku di sana ialah;
- Penduduknya suka bertukar-tukar agama.
- Mereka mahu masuk Islam tetapi mesti izinkan mereka terus memelihara dan makan khinzir.
- Suatu yang normal apabila khinzir menjadi mahar perkahwinan orang Islam.
- Pekerjaan utama ialah pertanian dan perikanan tetapi disebabkan kedudukan mereka yang jauh dari Pulau Sumatera, ia menyebabkan hasil bumi tidak dapat dijual dan digunakan untuk keperluan sendiri.
- Perjalanan menaiki bot dari pulau Sumatera mengambil masa 12 jam dengan cabaran ombak besar.
- Punca elektrik hanya didapati selepas maghrib sahaja.
- Hampir 50% penduduknya terkena penyakit malaria dan tiada kemudahan kesihatan kecuali di gereja. Dikhabarkan kesan hitam gigitan nyamuk hanya akan hilang selepas seminggu.
- Disebabkan kekurangan dana kewangan, gerakan dakwah Islam hanya hadir sekejap-sekejap serta tidak berterusan sedangkan gerakan kristianisasi berkampung di sana bertahun-tahun sehingga Muslim yang lemah imannya akhirnya tunduk memeluk kristian.
- Akibat dakwah yang tidak berterusan, maka jawapan sebegini sering diterima oleh pendakwah apabila mengunjungi penduduk, contohnya “Alhamdulillah, semenjak masuk Islam kehidupan kami bertambah baik. Buktinya ternakan khinzir semakin rancak membiak”
Semoga peristiwa yang berlaku di negara jiran kita ini akan menjadi iktibar kepada Muslim Malaysia agar terus mempertahankan kekuatan Islam yang ada serta tidak memandang mudah ancaman kristinisasi dan liberalisme yang semakin berkembang di negara kita ini.
Al-Hunafa Sedia Jalin Hubungan Erat
SG. UDANG, 28 Disember – ISMA Klang dan Pertubuhan al-Hunafa Klang bersetuju untuk menjalinkan kerjasama untuk program-program tertentu pada masa hadapan.
Persetujuan tersebut dicapai semasa program Ziarah NGO ISMA Klang ke pejabat Pertubuhan Hunafa Cawangan Klang di sini semalam.
Menurut Timbalan Presiden Pertubuhan al-Hunafa Dr. Izzudin Hamzah, ISMA dan Pertubuhan al-Hunafa mempunyai banyak persamaan dan perkongsian pengalaman antara dua pertubuhan ini diharap dapat merancakkan lagi aktiviti dakwah di Klang.
Pandangan tersebut turut dipersetujui Saudara Zainuddin Ghafar, Yang Dipertua ISMA Klang yang seterusnya menegaskan bahawa mencari persamaan adalah lebih baik dan penting daripada mencari perbezaan.
Pertemuan ini telah dihadiri 10 ahli jawatan kuasa ISMA Klang dan 10 wakil Pertubuhan al-Hunafa.
Dalam perkembangan berkaitan, program Ziarah NGO sebelum ini telah dilakukan ke Pertubuhan HALUAN Cawangan Klang dan ABIM Cawangan Klang untuk mengeratkan hubungan antara NGO-NGO di daerah ini.
Peserta Rehlah KRIM cemerlang PMR
KLANG, 27 Disember – Peserta program Rehlah Ikat Hati Semai Mesra anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) Cawangan Klang pada 21 dan 22 Disember 2011 di Kuang, Fittiatun Nawwar Hannan bt Mohd Pathan berjaya mendapat keputusan cemerlang 9A dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) 2011 baru-baru ini.
Hannan yang pada asalnya agak kecewa kerana terpaksa pulang awal untuk mengambil keputusan PMR sangat bersyukur kerana masa cuti sekolahnya dapat diisi dengan program bermanfaat sementara menunggu keputusan PMR keluar.
Manakala rakannya, Aisyah bt Azhan yang turut pulang selepas sehari mengikuti program tersebut mendapat keputusan yang baik iaitu 3A. Wargakerja KRIM melahirkan rasa bangga kerana Hannan dan Aisyah sangat komited dalam mengikuti program-program KRIM sepanjang tahun 2011 ini.
Program tahunan yang dirancang bagi mengakhiri perjalanan program KRIM tahun 2011 telah berjaya menarik penyertaan seramai 21 orang remaja perempuan dari pelbagai sekolah dan latar belakang sekitar Klang walaupun bertembung dengan tarikh keputusan PMR diumumkan iaitu 22 Disember 2011.
Menurut Pengarah Program, Ustazah Noraishah Shahabudin katanya, pelbagai aktiviti menarik yang telah disediakan seperti Tazkirah Tokoh, Swimming, War Games, Barbeque, Pentas Pemudi dan banyak lagi sememangnya menambat hati peserta untuk terus mengikuti program seumpama ini di masa akan datang.
InsyaAllah KRIM akan mengorak langkah lebih jauh pada tahun 2012 bagi memastikan lebih ramai remaja di sekitar Klang mendapat ilmu yang bermanfaat dalam setiap aktiviti yang dirancang.
Media: Perkasa Bidang Kewartawanan
KLANG, 11 Disember – Selari dengan hasrat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) pusat untuk memperkasakan bakat dan gaya kewartawanan ahli-ahli ISMA serta memantapkan lagi hebahan program-program yang dijayakan oleh badan ini, biro Media ISMA cawangan Klang telah mengadakan bengkel penulisan berita semalam.
Bengkel ini julung-julung kali diadakan di peringkat cawangan di Pejabat ISMA Klang yang dihadiri wakil setiap biro ISMA cawangan Klang seperti Biro Dakwah, Biro Media dan Biro Remaja.
Dengan penganjuran bengkel ini, diharapkan peserta dapat memanfaatkan ilmu-ilmu yang dipelajari dengan menghasilkan berita yang terkini dan menarik.
Antara pengisian bengkel adalah cara-cara untuk menghasilkan berita yang ‘catchy’ dan menarik minat pembaca, gambar-gambar yang bersesuaian dengan tema berita dan juga latih tubi penulisan.
Salah satu dari peserta bengkel dipetik meluahkan perasaan yang sangat gembira dengan penganjuran bengkel ini dan berharap agar program sebegini akan mempunyai susulan di masa akan datang.
Sehubungan itu, Biro Media ISMA pusat akan mengunjungi cawangan ISMA seluruh Malaysia termasuk Klang dan mengalu-alukan penglibatan ahli-ahli ISMA dalam kursus intensif media dan kewartawan yang dijangka akan bermula awal tahun hadapan.
Khatan Perdana Meriah
KLANG, 10 Disember, – Seramai kira-kira 15 orang kanak-kanak telah berjaya dikhatankan di Masjid Masjid Raudhatul Muslimin, Sg Pinang pada 4 Disember 2011 dalam Majlis Khatan Perdana yang julung-julung kali diadakan di masjid itu.
Walaupun di permulaan majlis ada kanak-kanak yang menggigil ketakutan, namun di wajah mereka jelas menunjukkan kegembiraan bermain air dengan senyuman girang ketika upacara pancuran air oleh Jabatan Bomba Cawangan Klang untuk meraikan keberanian anak-anak ini.
Program yang dijayakan oleh Kelab Anak Hebat (Nazim) Klang dan ISMA Klang dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid, Pasukan Bomba Cawangan Klang dan penduduk Kampung Sg Pinang ini sangat meriah dengan dihadiri kira-kira 150 hadirin termasuk ibu bapa dan keluarga kanak-kanak yang terlibat untuk memberi sokongan moral.
Proses berkhatan yang telah dilakukan oleh Dr Razali dari Poliklinik Abadi Seksyen 13 Shah Alam dan dirasmikan oleh Yang Dipertua ISMA Klang, Encik Zainuddin Ghafar turut dimeriahkan dengan persembahan nasyid, kompang, dan dikir barat anak-anak NAZIM Klang, perarakan dan tayangan video.
ISMA Klang dengan ini ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan program dan turut memberi sumbangan terutamanya kepada Ketua Kampung Sg Pinang, pihak masjid, Dr Razali Rusydi dan pasukan Bomba Klang.
ISMA perkenal slogan ‘Membangun Umat Beragenda’
BANGI, 19 Ogos – Mesyuarat Jawatankuasa Pusat ISMA baru-baru ini membuat keputusan untuk memperkenalkan slogan baru iaitu ‘Membangun Umat Beragenda’ di samping meneruskan niche ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’ sebagai satu strategi dakwah ISMA di fasa ini.
Menurut Setiausaha Agung ISMA, Dr. Amirudin Wahab, slogan baru ini akan menggantikan slogan ‘Membina Generasi Harapan’ bersesuaian dengan fasa dakwah, strategi dan fokus ISMA ketika ini.
“Amal ‘Membina Generasi Harapan’ adalah kerja-kerja asasi yang akan sentiasa kita lakukan, namun fokus dan amal fasa dakwah ISMA kini adalah lebih terbuka untuk menggarap umum dan memposisikan kewujudan ISMA dalam masyarakat,” jelas beliau.