Ziarah Eidfitri ISMA Klang


             Program ziarah eid fitri pada tahun ini telah berlangsung dengan jayanya pada 17 & 18 September yang lepas. Seramai 50 orang telah menyertai program tersebut dengan matlamat untuk mengukuhkan ukhwah sesama ahli . Perasaan gembira dan kepuasan jelas terpancar di muka setiap ahli dan anak-anak yang menyertai program tersebut walaupun penat menjelajah ke Banting, Sijangkang, Klang, Kapar dan Puncak Alam dalam masa 2 hari.


Disisir diandam dengan cekap

Potong rambut pelbagai gaya

Puasa sebulan sudahlah lengkap

Kita menyambut Hari Raya


Tanpa mengira miskin kaya,

Pangkat kedudukan hamba bernyawa,

Sama-sama menyambut raya,

Maaf-maafan di hari bahagia.


Aidilfitri hari kemaafan,

Menghapus kesalahan sesama insan,

Memupuk perpaduan sesama ehsan,

Mengikat tali keakraban.

 

“Dan bagi orang yang berpuasa itu mendapatkan 2 kebahagiaan, pertama ketika berbuka, ke dua ketika bertemu Tuhannya.”

 

(Maksud hadith)


Moga Allah kurniakan kegembiraan ketika kita bertemu denganNya di akhirat kelak.

 

Kunjungan Hormat ISMA ke HALUAN Klang

 

             Pada 21hb September 2011 bersamaan hari Rabu, ISMA Cawangan Klang telah mengadakan kunjungan hormat ke pejabat HALUAN Klang bertempat di Jalan Kebun. Rombongan yang terdiri dari Yang Dipertua ISMA Klang berserta dengan 9 orang ahli jawatankuasanya telah diberi sambutan penuh ukhwah oleh En Hamdan yang mengetuai HALUAN Klang.

 

Kunjungan tersebut merupakan permulaan kepada siri kunjungan hormat ISMA ke badan-badan bukan kerajaan atau NGO di sekitar Klang. Majlis dimulai dengan sessi penerangan ringkas berkenaan kedua-dua pertubuhan diikuti dengan jamuan ringan dan sessi beramah mesra sesama ahli.


Dalam ucapannya, En Hamdan amat gembira dengan kunjungan tersebut dan berharap kedua-dua pihak akan dapat bekerjasama dengan lebih erat di masa hadapan khususnya dalam menggerakkan dakwah di daerah Klang.


Sebagai tanda ingatan dan terima kasih, pihak ISMA telah sudi untuk memberikan cenderahati,profail dan bahan-bahan media yang berkaitan.


Di atas dahan burung tempua,

Melihat rusa tepi perigi,

Salam perkenalan untuk semua,

Semoga ukhwah mula bersemi.


Semoga dakwah terus maju di bumi Klang ini !!

Iktikaf Ramadhan

ISMA Cawangan Klang dengan kerjasama pihak Masjid Di raja Bandar Klang telah mengadakan program iktikaf ramadhan 2011 bertempat di masjid tersebut. Program yang berlangsung dari 19-21 Ogos 2011 telah mendapat sambutan lebih 50 orang peserta remaja dan dewasa.

Program yang bermatlamat untuk membudayakan iktikaf 10 malam terakhir Ramadhan telah digunakan sepenuhnya oleh setiap peserta untuk meningkatkan amal ibadah kepada Allah. Sessi tersebut telah dipadatkan dengan program solat fardhu berjemaah,iftar, sahur, tadarus al-quran, solat terawih & qiamulail yang telah disusun. Selingan tazkirah pada setiap lepas solat fardhu juga turut memotivasikan iman agar terus berlumba-lumba untuk mengejar habuan yang disediakan Allah di bulan yang mulia ini.

Pada hari terakhir program telah berlangsung sesi khatam al-quran sebagai tanda kesempurnaan program.

Barangsiapa yang I’tikaf satu hari semata-mata mengharap keredhaan Allah, niscaya Allah akan menjadikan jarak diantaranya dengan api neraka sejauh tiga parit dan tiap-tiap parit jaraknya adalah lebih jauh daripada jarak antara dua mata angin.
( Hadis Riwayat Imam Al-Tabaraniy dengan sanadnya Hasan

Moga-moga program sebegini akan mendapat sambutan lebih hebat di masa akan datang.

Ahlan Ramadhan

ISMA Klang ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan yang penuh barakah. Semoga hari-hari kita di bulan Ramadhan yang mulia ini dipenuhi dengan amal ibadah tanda ketaatan kita kepada yang Esa.

Program Santai Pagi Bersama Wanita Klang

Pada 24 Aril 2011, Wanita ISMA cawangan Klang telah menganjurkan Program Santai Pagi Bersama Wanita Klang. Program ceria dan berkonsepkan kekeluargaan ini telah dihadiri seramai 26 orang wanita dari seluruh pelusuk Klang dan telah berlangsung di Pejabat ISMA Klang yang baru dibuka beberapa minggu yang lalu.

Program ini dimulai dengan aktiviti penyucian rohani iaitu mengalunkan zikir munajat dan solat Dhuha secara  berjemaah. Seterusnya, jiwa para peserta terus diisi dengan tazkirah yang mengguntur jiwa bertajuk ‘Cinta Akhirat” yang disampaikan oleh Ustazah Noriah Yusoh, Ketua Wanita ISMA cawangan Klang. “Kita Yaqin Semua Mati”, inilah penekanan yang diberi dalam tazkirah tersebut yang akan menjadi bekalan kepada peserta dalam menjalani kehidupan dunia yang sementara ini.

Program ini turut disertakan aktiviti yang amat sinonim dengan wanita, iaitu memasak. Terdapat tiga resepi lazat yang dapat dikongsi bersama iaitu Kuih Tako, Muffin Coklat dan Kek Batik. Suasana menjadi riuh rendah apabila peserta sangat gembira apabila melihat bekas Kuih Tako mereka menjadi yang diajar oleh Ukhti Che Teh Rahmah.  Setelah itu, Ukhti Nooraini Saad berkongsi resepi Muffin Coklat yang mudah, jimat, cepat dan sedap bersama peserta. Seterusnya, resepi Kek Batik yang berasaskan biskut marie telah dikongsi oleh Ustazah Zaleha Abdul Latif. Program ini turut diserikan dengan acara cabutan bertuah.

Program ini berakhir pada kira-kira pukul 12.15 tengahari. Alhamdulillah,  diharapkan program sebegini dapat mengeratkan ukhuwah antara wanita ISMA dengan wanita Klang di samping mengajak mereka kembali kepada mengamalkan Islam secara sempurna.

Rumah Baru

Laman web ini adalah kesinambungan dari laman web ISMA Klang yang lama iaitu di http://ismaklang.posterous.com/