Blog Archives
Media: Perkasa Bidang Kewartawanan
KLANG, 11 Disember – Selari dengan hasrat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) pusat untuk memperkasakan bakat dan gaya kewartawanan ahli-ahli ISMA serta memantapkan lagi hebahan program-program yang dijayakan oleh badan ini, biro Media ISMA cawangan Klang telah mengadakan bengkel penulisan berita semalam.
Bengkel ini julung-julung kali diadakan di peringkat cawangan di Pejabat ISMA Klang yang dihadiri wakil setiap biro ISMA cawangan Klang seperti Biro Dakwah, Biro Media dan Biro Remaja.
Dengan penganjuran bengkel ini, diharapkan peserta dapat memanfaatkan ilmu-ilmu yang dipelajari dengan menghasilkan berita yang terkini dan menarik.
Antara pengisian bengkel adalah cara-cara untuk menghasilkan berita yang ‘catchy’ dan menarik minat pembaca, gambar-gambar yang bersesuaian dengan tema berita dan juga latih tubi penulisan.
Salah satu dari peserta bengkel dipetik meluahkan perasaan yang sangat gembira dengan penganjuran bengkel ini dan berharap agar program sebegini akan mempunyai susulan di masa akan datang.
Sehubungan itu, Biro Media ISMA pusat akan mengunjungi cawangan ISMA seluruh Malaysia termasuk Klang dan mengalu-alukan penglibatan ahli-ahli ISMA dalam kursus intensif media dan kewartawan yang dijangka akan bermula awal tahun hadapan.