Demonstrasi: Kebebasan bersuara atau jenayah?

January 21, 2014 

Apabila Tuan Mufti Perak mengaitkan peserta demonstrasi TURUN dengan jenayahbughahpelbagai reaksi mula diberikan oleh orang ramai. Ada yang menerimanya dan ada yang menolaknya. Pihak yang menolak mempersoalkan kenapa satu demonstrasi yang aman tidak boleh diterima oleh syarak? Pada saya, kenyataan Tuan Mufti tersebut ada asasnya yang tersendiri dari segi syarak walau pun mungkin ada beberapa istilah yang digunakan oleh beliau mungkin boleh diperbaiki untuk lebih tepat.

Oleh kerana agak rumit untuk menerangkan tentang hukum fiqh berkenaan jenayahbughah di dalam ruang yang terhad, saya cuba di sini untuk menghuraikannya semudah mungkin tanpa menyeliratkannya dengan perincian rujukan dan sumber. Huraian nas memerlukan ruang yang lebih panjang yang insyaAllah jika ada kesempatan lain, saya cuba huraikan.

Malaysia Adalah Negara Islam

Persoalan ini penting kerana sebahagian umat Islam keliru lalu berpendapat bahawa istilah bughah tidak boleh timbul sekarang kerana Malaysia bukanlah sebuah negara Islam. Makin hari makin ramai pihak yang mempertikaikan status keislaman Malaysia ini. Suka saya tegaskan di sini, Malaysia adalah negara Islam dan tidak pernah sekali-kali dan tidak akan menjadi negara sekular.

Muhammad Ahmad ar-Rasyid menyimpulkan pandangan-pandangan ulamak berkenaan status sesebuah negara; Islam atau tidak di dalam bukunya Usul Ifta. Beliau menyimpulkan bahawa satu-satu negara menjadi negara Islam apabila berjalan hukum Islam di situ selama beberapa generasi. Penjajahan dan pemerintah yang zalim tidak akan mengubah status negara tersebut kepada negara bukan Islam. Andalus yang pernah menjadi negara Islam selama lapan kurun tetap negara Islam walaupun pemerintahnya sekarang adalah Kristian, perlembagaannya sekular, orang Islamnya dibunuh dan ditukar agama. Ini menurut kesimpulan beliau. Begitu jugalah halnya dengan Palestin, Sudan Selatan dan lain-lain negara Islam di dunia hari ini.

Beliau berkata:

“Saya berpandangan satu-satu negara menjadi negara Islam apabila ia diperintah oleh orang-orang Islam secara sempurna selama satu atau dua generasi contohnya, sebagaimana yang tercatat di dalam sejarah Islam hasil daripada pembukaan Islam. Dengan sejarah silamnya itu negara itu menjadi negara Islam.”

Beliau berkata lagi berkenaan status negara Islam yang kemudiannya diperintah oleh pemerintah yang zalim atau dijajah oleh orang-orang kafir:

“Tidaklah sepatutnya keharusan menjatuhkan pemimpin (yang zalim atau kafir itu) itu menjadikan kita menjatuhkan hukum bahawa negara itu telah bertukar kepada negara harbi (negara bukan Islam). Bahkan ia kekal negara Islam tetapi jatuh di tangan seorang yang murtad lagi zalim. Apatah lagi jika sekiranya syiar-syiar Islam masih lagi berlaku dan masjid-masjidnya masih diimarahkan.”

Malaysia adalah negara yang menggabungkan negeri-negeri Islam Melayu dan masih meletakkan Islam di kedudukan tinggi di dalam perlembagaan. Ada institusi Islam yang mempunyai kuasa di peringkat pusat dan negeri. Zahir syiar-syiar Islam. Maka ia kekal negara Islam walau dengan pelbagai kepincangan pemerintah dan polisi. Kepincangan itu tidak sama sekali menukar statusnya kepada negara sekular.

Dari situ adalah wajib untuk dijalankan hukum hakam negara Islam seperti status kewarganegaraan; warganegara Islam dan warganegara kontrak untuk bukan Islam, wajib taat kepada pemerintah pada perkara-perkara yang bertepatan dengan syariah dan haram menjatuhkan kerajaan dengan menggunakan kekuatan yang akan mengakibatkan mudharat yang lebih besar berlaku.

Dakwaan yang mengatakan bahawa Malaysia adalah negara sekular akan membawa kepada pencairan pemikiran Islam di dalam diri umat Islam. Kesannya antara lain adalah umat Islam akan akhirnya meletakkan kedudukan Islam di dalam kerangka negara sekular seperti yang berlaku di Barat. Di dalam isu bughah yang ingin kita bincangkan di sini, umat Islam akan keliru lalu mungkin menolak terus relevansi istilah bughah dalam konteks negara Malaysia hari ini. Usaha mengumpulkan kekuatan dari dalam dan luar negara untuk menjatuhkan kerajaan dan menukar status negara akan dikategorikan hanya sebagai kebebasan bersuara dan amat jauh sekali untuk dikategorikan sebagai satu kesalahan jenayah.

Pemerintah Yang Ada Adalah Pemerintah Yang Sah

Di dalam Islam, pemerintah dilantik melalui salah satu daripada empat cara. Ini merupakan kesimpulan Abdul Kadir Audah di dalam bukunya Tasyrie’ Jinaie fil Islam setelah meneliti sejarah Islam di dalam isu perlantikan pemimpin. Cara-cara tersebut adalah:

Melalui pemilihan oleh ahlul hilli wal aqd (dianggotai oleh ulamak, fuqaha, pemuka dan sebagainya dari kalangan umat Islam).Melalui perlantikan oleh pemimpin sebelumnya.Melalui pemilihan yang dilakukan oleh satu kelompok kecil yang dilantik oleh pemimpin sebelumnya.Melalui kekuatan dengan cara menjatuhkan pemimpin sebelumnya dan berjaya menguasai rakyat (mughalabah).

Manakala Syeikh Dr. Muhammad Abd Kadir Abu Faris pula meluaskan cara pemilihan pemerintah negara Islam kepada apa-apa kaedah lain bersesuaian dengan zaman tersebut. Tetapi beliau meletakkan syarat sokongan ahlussyaukah(sekumpulan umat Islam yang mempunyai pengaruh ke atas umat keseluruhannya) untuk mengabsahkan perlantikan tersebut. Ini bertepatan dengan pandangan Ibnu Taimiyah:

“Imamah di sini ahlussunnah wal jamaah thabit dengan persetujuan ahlussyaukah atas perlantikan tersebut. Seseorang tidak menjadi pemimpin negara sehinggalah ahlussyaukah menyetujui perlantikannya. Dengan ketaatan ahlussyaukah kepada pemimpin itu tercapailah objektif imamah. Sesungguhnya objektif imamah dicapai melalui kemampuan dan kekuasaan. Apabila ahlussyaukah memberikan bai’ah yang memberikan kemampuan dan kekuasaan kepada pemimpin itu, jadilah dia pemimpin.”

Pemerintah yang ada hari ini dilantik melalui pilihan raya di dalam sistem demokrasi. Tidaklah Islamik sepenuhnya sistem demokrasi itu dan tidak juga wujud sistem itu sebelum ini di dalam sejarah Islam. Walau pun begitu, pemerintah yang naik telah dipersetujui oleh majoriti umat Islam dan terbukti berjaya menguasai rakyat dan memberikan suasana aman kepada negara. Tidak wujud pemberontakan bersenjata untuk menjatuhkannya. Maka ia adalah pemerintah yang sah di sisi Islam. Mustahil bagi yang memahami maqasid Islam dari aktiviti kenegaraan untuk mengatakan bahawa pemerintah yang naik dengan cara ini adalah tidak sah dan tidak wajib ditaati.

Bagaimana pula kewujudan sekumpulan orang Islam yang tidak menyetujui perlantikan pemerintah dan menjadi pembangkang? Adakah kewujudan satu kumpulan yang tidak bersetuju menjadikan pemerintah itu tidak sah?

Hukum Islam di dalam hal ini adalah jelas. Yang menjadi ukuran adalah sokonganahlussyaukah tersebut. Jika sokongan itu wujud dan keadaan telah pun terkawal dengan baik, maka kewujudan sekumpulan pihak yang tidak bersetuju itu tidak memberi apa-apa kesan kepada sah atau tidak. Ulamak membincangkan hal ini dan mengkaji beberapa kes perlantikan khulafa’ rasyidin berempat. Mereka mendapati bahawa perlantikan Saidina Abu Bakar ra tidak mendapat bai’ah daripada Saad bin Ubadah ra. Ada juga sahabat yang memberikan bai’ah hanya selepas beberapa bulan. Perlantikan Saidina Ali ra juga berlaku hanya dengan sokongan sebahagian besar umat Islam ketika itu. Perlantikan Saidina Umar ra sebagaimana yang diketahui secara jelas di dalam sejarah sememangnya dipersoalkan oleh sebahagian sahabat ra. Perlantikan Saidina Usman ra sahaja yang agak unik kerana beliau mendapat persetujuan dari keseluruhan umat Islam ketika itu seperti yang disebut oleh Imam Ahmad:

“Tidak ada di dalam umat ini yang lebih kukuh mendapat bai’ah selain dari Usman ra. Beliau dibai’ah dengan ijmak dari seluruh umat Islam.”

Tetapi ijmak perlantikan seumpama itu tidak lagi berlaku di zaman sesudahnya. Tempoh bermula daripada perlantikan Yazid bin Muawiyyah sehinggalah ke zaman Abd Malik bin Marwan dari kerajaan Bani Umayyah dipenuhi dengan kisah-kisah keengganan kumpulan-kumpulan Islam di sana sini untuk memberikan bai’ah. Tetapi ulamak Islam tetap mengatakan pemerintah yang terlantik itu adalah sah.

Jika Pemerintah Itu Fasik Atau Zalim, Bolehkah Rakyat Menjatuhkannya?

Pemerintah yang adil wajib ditaati. Pemerintah yang fasik atau zalim pula dibincangkan panjang oleh ulamak. Ada yang berpendapat ia terlucut secara automatik, ada yang berpandangan boleh dijatuhkan dan ada yang berpandangan tidak boleh dijatuhkan. Tetapi dari semua perbahasan yang panjang itu, ulamak bersetuju bahawa tahap mudharat menjadi ukuran di dalam menentukan hukum boleh atau tidak menjatuhkan pemimpin yang fasik atau zalim itu.

Sesuatu kemungkaran tidak boleh dicegah jika mengakibatkan berlaku kemungkaran yang lebih besar. Memang ada hadis-hadis yang menyuruh umat Islam membenteras kezaliman dan kemungkaran. Tetapi di samping hadis-hadis itu, terdapat juga beberapa hadis yang menyuruh umat Islam bersabar terhadap pemimpin yang zalim selama mana umat masih boleh solat dengan aman. Hadis-hadis itu tidak bertentangan di antara satu dengan yang lain, tetapi ukuran maslahat semasa itu menentukan bagaimanakah himpunan hadis-hadis itu diamalkan.

Dalam sistem demokrasi sekarang, umat Islam telah bersetuju bahawa setiap beberapa tahun akan dilakukan pemilihan semula pemerintah. Jadi, umat Islam telah bersetuju untuk tidak menjadikan pemimpin tertinggi negara sebagai satu jawatan yang akan dipegang sampai mati. Sistem penggiliran ini di sudut tertentu lebih baik daripada amalan sebelum ini yang meletakkan pemimpin tertinggi negara hanya akan bertukar setelah kematiannya atau dengan rampasan kuasa. Dengan sistem sekarang, rakyat ada ruang yang cukup luas untuk menukar pemimpin negara secara aman. Pemimpin yang fasik atau zalim itu boleh ditukar secara aman dengan sistem yang ada sekarang. Ini ruang yang cukup baik bagi umat untuk menukar pemimpin yang fasik pada hari ini. Mudharatnya kurang dan suasana aman boleh kekal.

Tetapi kadang-kadang ada masanya sebahagian umat Islam tidak mampu untuk menunggu pilihan raya seterusnya. Mereka berusaha untuk menjatuhkan pemimpin itu sekarang dengan apa juga cara yang boleh termasuklah melobi rakyat dan mengumpul kekuatan yang boleh memberi tekanan agar pemimpin itu jatuh. Di dalam Islam, tidaklah salah menjatuhkan pemimpin yang fasik atau zalim, tetapi keharusannya tidak mutlak begitu. Yang menjadi ukuran sentiasa adalah apa kesan daripada usaha itu? Membawa kepada mudharat yang lebih buruk atau membawa kepada kebaikan yang lebih?

Meneliti kata-kata ulamak Islam di dalam isu ini menunjukkan kepada kita yang mereka bersepakat bahawa menjatuhkan pemimpin fasik atau zalim itu mesti diukur dari sudut manfaat dan mudharat.

Berkata Ibnu Abi Syarif al-Syafie di dalam al-Masamirah:

“Seorang pemimpin yang fasik tidak terlucut jawatannya secara otomatik. Tetapi ia berhak dilucutkan jika pelucutan itu tidak membawa kepada fitnah (huru hara).”

Berkata pula al-Iji di dalam al-Mawaqif:

“Hendaklah umat melucutkan pemimpin jika ada sebab yang mewajibkan beliau dilucutkan. Jika usaha itu membawa kepada fitnah (huru hara) hendaklah diambil yang manakah yang ringan mudharatnya.”

Ibnu Taimiyah di dalam Minhaj al-Sunnah pula berkata:

“Jika usaha melucutkannya (pemimpin itu) lebih memudharatkan berbanding mengekalkannya (di jawatan itu), maka tidaklah harus seseorang melakukan sesuatu yang lebih besar mudharat semata-mata untuk menghilangkan mudharat yang lebih kecil.”

Berkata Ibn Abidin di dalam Hasyiyah Ibn Abidin:

“Jika dilantik seorang pemimpin yang adil kemudian beliau menjadi zalim dan fasik, pemimpin itu tidak terlucut secara automatik. Sebaliknya beliau boleh dilucutkan jika perlucutan itu tidak membawa kepada fitnah (huru hara).”

Kesimpulan daripada pandangan-pandangan ulamak di atas, fasik dan zalim semata-mata tidak memberi sandaran syarak untuk dilucutkan atau dijatuhkan seseorang pemimpin. Termasuk di dalam pertimbangan juga adalah kesan selepas daripada usaha menjatuhkan pemimpin itu. Jika mudharatnya lebih besar, maka syarak tidak membenarkan usaha menjatuhkan pemimpin yang fasik itu.

Demonstrasi: Kebebasan Suara Atau Bughah?

Di sini kita masuk kepada topik yang ingin kita bincangkan di peringkat awal tadi iaitu berkenaan hukum bughah. Sebelum pergi jauh, saya ingin menyimpulkan semula beberapa perkara di atas:

Malaysia adalah negara Islam yang perlu disempurnakan keislamannya. Ia bukan sekali-kali negara sekular.Pemerintah yang ada sekarang adalah pemerintah yang sah.Jika pemerintah yang ada sekarang ini fasik atau melakukan kezaliman, ia hanya boleh dijatuhkan jika usaha menjatuhkan itu tidak membawa mudharat yang lebih besar daripada mudharat kezaliman yang sedia ada.

Apabila kita mengatakan bahawa Malaysia adalah negara Islam, ia tidak bermakna bahawa kerja-kerja islah dah dakwah sudah berakhir. Matlamat negara Islam adalah terlaksananya syariat Islam secara sempurna. Ketakutan sebahagian pendakwah untuk mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam berpunca daripada salah faham bahawa matlamat terakhir perjuangan Islam adalah golongan Islamis mendapat kerusi politik. Sedangkan matlamat sebenar adalah terlaksananya syariah dan berdirinya kehidupan Islam di muka bumi. Dari situ pengiktirafan Malaysia sebagai negara Islam tidak sesekali akan menjadikan usaha-usaha golongan Islamis sebagai tidak relevan. Tertegaknya negara Islam masih mewajibkan umat Islam melakukan amar makruf nahi mungkar untuk membetulkan yang salah dan menyempurnakan yang kurang.

Di sudut yang lain, jika Malaysia adalah negara Islam dan pemimpinnya adalah sah, sebarang usaha menjatuhkan pimpinannya dengan menggunakan kekuatan atau usaha menukar status negara kepada negara sekular atau mengubah perlembagaannya kepada yang lebih jauh dari ruh Islam, semua itu adalah jenayah. Jalan yang sah untuk menukar pimpinan adalah melalui jalan aman di dalam sistem pilihan raya sebagaimana yang telah dipersetujui bersama oleh umat Islam di Malaysia. Selain jalan yang aman ini, tidak pernah terbukti untuk tempoh puluhan tahun kebelakangan ini bahawa ianya akan menghasilkan natijah yang lebih baik untuk umat. Perubahan kuasa secara paksa dengan menggunakan kekuatan tanpa persiapan yang sungguh-sungguh hanya akan membawa umat Islam kepada keadaan yang lebih buruk. Cukuplah apa yang berlaku di dunia Arab sebagai pengajaran kepada umat Islam. Apakah keuntungan yang dikaut oleh rakyat Iraq? Apakah kebaikan yang dikecapi oleh rakyat Libya dan Tunisia? Apakah pula yang akan dihadapi oleh rakyat Mesir untuk tempoh puluhan tahun akan datang? Ke manakah hala tuju umat Islam Syria?

Mungkin itulah asas yang digunakan oleh Tuan Mufti Perak untuk mengaitkan peserta demonstrasi TURUN  dengan bughah. Saya menyetujuinya atas beberapa pertimbangan dengan sedikit perincian berkenaaan istilah yang digunakan oleh Tuan Mufti.

Demonstrasi TURUN tidak boleh dilihat berasingan daripada siri-siri demonstrasi yang banyak sebelum ini. Mesti dilihat satu pakej dengan tuntutan COMANGO yang mahukan Malaysia mengubah perlembagaannya untuk membenarkan falsafah dan gaya hidup liberal masuk bertapak di Malaysia. Mesti juga dikaitkan sekali dengan usaha-usaha sebahagian pihak dari kalangan non muslim yang mahu mengubah imej negara sebagai bukan negara Islam di mata dunia. Juga mesti dihubungkan sekali dengan tindakan sebahagian pembangkang yang tidak mahu mengiktiraf kerajaan yang ada sebagai sah lalu mereka-reka cerita palsu untuk menyokong dakwaan mereka. Mesti dilihat sebagai kesinambungan daripada tuntutan-tuntutan IFC yang sebenarnya akan meruntuhkan teras kenegaraan Malaysia. Mesti dikaitkan juga dengan kedegilan pihak Evangelist terus menerus menolak dan mencabar keputusan penguasa yang sah berkenaan isu kalimah Allah. Juga mesti dilihat sebagai kesinambungan projek mengubah dasar negara dari negara Islam kepada negara yang berteraskan kesamarataan mutlak berteraskan nilai Barat.

Kenapa mesti dilihat semua itu sebagai satu pakej? Kerana penganjurnya dan dalang di belakangnya adalah kumpulan manusia yang sama. Mereka cuma menukar-nukar proksi penganjur setiap kali mereka ingin menganjurkan apa juga demonstrasi dan tuntutan. Tetapi yang sentiasa menjadi tetamu khas dan mengisi pentas yang disediakan penganjur adalah orang yang sama. Mereka bermatlamatkan satu matlamat yang konsisten dari dulu hingga sekarang iaitu merubah status negara dan merubah perlembagaan. Ia tidak terhenti setakat isu kenaikan harga barang. Bahkan tidak terhenti setakat menurunkan Perdana Menteri dan barisan kabinet sedia ada sekarang. Matlamatnya lebih daripada semua itu.

Di dalam Islam, usaha merubah status negara, merubah perlembagaaan dan menghasut orang ramai untuk tidak memberikan ketaataan kepada pemerintah yang sah di dalam perkara yang tidak bertentangan dengan syariat adalah satu jenayah. Tuan Mufti Perak menamakannya sebagai bughah. Saya berpendapat bahawa kategori jenayah itu berlegar di sekitar jenayah bughahhirabah atau langgar kontrak kewarganegaraan Islam, bukan sekadar jenayah bughah sahaja.

Bughah ditakrifkan oleh ulamak dengan takrifan yang pelbagai berdasarkan khilaf mereka terhadap perinciannya. Tetapi yang jelasnya ulamak bersetuju kepada tiga rukun utama jenayah bughah iaitu; keluar dari ketaatan pemerintah, dengan menggunakan kekuatan dan berniat untuk tujuan jenayah itu. Dalil yang menjadi rujukan ulamak di dalam isu bughah antaranya adalah:

“Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Al-Hujurat: 9)

Ulamak kebiaasaannya akan menjadikan beberapa peristiwa di zaman awal Islam sebagai contoh bughah. Di antaranya adalah kisah perselisihan Saidina Ali ra dan Muawiyyah ra di dalam peristiwa perang Siffin dan peristiwa Tahkim. Di antaranya adalah kisah kumpulan Khawarij. Di antaranya lagi adalah perselisihan di antara pembesar Islam dengan Yazid bin Muawiyyah. Di antaranya lagi adalah peristiwa peperangan di antara Abdullah bin Zubair dan Abd Malik bin Marwan di dalam menentukan siapakah khalifah yang sah.

Hirabah pula bermaksud menggunakan kekuatan di kawasan yang sukar mendapat pertolongan manusia untuk merampas harta atau untuk membunuh atau untuk menakut-nakutkan manusia. Inilah takrif yang masyhur di kalangan ulamak mazhab Syafie. Sebahagian ulamak mazhab Syafie memasukkan sekali pencabulan seks menggunakan kekerasan di dalam jenayah hirabah. Manakala ada sesetengah ulamak yang menghadkan jenayah hirabah hanya kepada rampasan harta sahaja. Kekuatan yang dimaksudkan di sisi mazhab Hanbali dan Hanafi adalah senjata tetapi mazhab Maliki dan Syafie tidak mensyaratkan penggunaan senjata. Bahkan mazhab Malik berpandangan jenayah hirabah boleh berlaku dengan hanya menggunakan helah dan tipu daya sahaja. Dalil yang menjadi rujukan ulamak di dalam jenayah hirabah antaranya adalah:

“Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh atau dipalang atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang atau dibuang negeri. Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.” (Al-Maidah: 33)

Manakala langgar dan batal kontrak kewarganegaraan merujuk kepada akad atau kontrak yang telah mengikat seorang kafir untuk menjadi warganegara sesebuah negara Islam. Jika mereka bersetuju dengan beberapa syarat yang dikenakan oleh negara Islam, maka mereka menjadi warganegara zimmi dan mendapat hak dan kewajipan tertentu di dalam negara Islam. Jika mereka melanggar perjanjian tersebut, maka status kewarganegaraan zimmi itu bertukar kepada harbi dan akan dikenakan tindakan oleh kerajaan Islam seperti buang negara dan seumpamanya. Dalil kepada jenayah ini adalah akad yang dipersetujui oleh orang-orang kafir ketika Rasulullah saw mengasaskan negara Islam Madinah melalui piagam Madinah. Kisah nasib Yahudi Bani Nadhir, Bani Qainuqa’ dan Bani Quraizah yang dihalau dari negara Islam adalah dalil yang kuat berkenaan lucutnya status kewarganegaraan disebabkan jenayah melanggar kontrak kewarganegaraan zimmah.

Jika dilihat dari perbahasan ulamak berkenaan ketiga-tiga jenayah ini, mungkin agak sukar untuk kita mengkategorikan usaha sekumpulan manusia untuk merubah status dan perlembagaan negara di dalam jenayah mana satu. Tetapi pengkaji fiqh Islam akan boleh dengan mudah menyimpulkan yang berikut:

1. Tidak boleh sama sekali kita mengatakan bahawa usaha merubah status negara dan perlembagaan itu bukan jenayah di dalam Islam. Jangan sesekali mengkategorikan usaha merubah status negara dan perlembagaan ini sebagai demonstrasi biasa untuk menyuarakan pandangan dan bantahan semata-mata. Ia adalah dua isu yang berbeza. Berkumpul untuk menyuarakan pandangan dan bantahan tidaklah salah menurut ramai ulamak. Tetapi yang berlaku di Malaysia ini bukan setakat menyuarakan bantahan dan cadangan. Ia bertujuan untuk merubah status negara dan perlembagaan. Itu adalah jenayah dan bukan sekadar kebebasan menyuarakan pandangan. Mereka ingin membuang agama secara mutlak daripada struktur negara dan mengubah rujukan tertinggi negara kepada akal manusia semata-mata. Allah melarang orang Islam menjadikan rujukan tertinggi mereka selain dari wahyu. Firman Allah:

“Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (Al-Nisa’: 59)

2. Jika yang melakukan usaha merubah status negara Islam tersebut adalah orang kafir, maka ia sama sekali tidak boleh dimasukkan sebagai jenayah bughah. Bughah khusus untuk orang Islam sahaja. Manakala orang kafir, ia lebih hampir kepada pembatalan akad zimmah kerana menjadi salah satu syarat di dalam syarat kewarganegaraan zimmah adalah tidak melawan pemerintah dan bersama mempertahankan keselamatan negara. Sedikit khilaf ulamak berkenaaan isu ini hanya berlaku pada isu jika orang kafir tersebut digunakan oleh orang Islam yangbughah; ada ulamak yang mengatakan mereka tidak jatuh menjadi harbi. Tetapi tidak ada khilaf langsung di kalangan ulamak tentang batal kontrak zimmahtersebut jika orang kafir itu sendiri yang menganjurkan usaha menghasut orang ramai untuk merubah status negara Islam. Ini boleh dirujuk di dalam kisah-kisah yang berlaku kepada satu demi satu suku-suku Yahudi di Madinah apabila mereka mengkhianati kontrak perjanjian mereka dengan Nabi s.a.w.

3. Bilangan ramai atau sedikit tidak menjadi isu untuk dikategorikan sebagaibughah. Yang menjadi ukuran kepada sebahagian ulamak bukannya bilangan mereka yang ingin mengubah status negara tersebut tetapi bebanan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan untuk mengembalikan mereka kepada ketaatan. Jika bebanan itu banyak, maka bilangan mereka samada sedikit atau ramai tidak lagi menjadi perkiraan, mereka tetap dianggap sebagai bughah. Di dalam mazhab Hanbali, bilangan yang sedikit juga boleh dianggap bughah jika mereka bersenjata dan boleh melancarkan perang. Ini berdasarkan iktibar bahawa kerajaan terpaksa menanggung beban kewangan dan sumber tenaga manusia yang ramai untuk mengembalikan mereka kepada ketaatan pemerintah.

4. Perkumpulan manusia yang berkumpul untuk menjatuhkan kerajaan Islam, jika tidak cukup syarat untuk dikategorikan sebagai bughah, maka ulamak akan mengkategorikannya sebagai hirabah dalam sesetengah keadaan. Contohnya adalah di dalam isu takwilBughah selalu dikaitkan oleh ramai ulamak dengan kekeliruan terhadap nas, atau istilah yang digunakan oleh sebahagian ulamak sebagai ‘mempunyai takwil’. Kumpulan bughah melawan kerajaan Islam kerana mereka menyangka secara salah bahawa syariat membenarkan mereka melawan. Jika kumpulan yang berkumpul untuk menjatuhkan kerajaan yang sah tidak mempunyai takwil, ini tidak bermakna mereka bukan penjenayah. Mereka adalah penjenayah di dalam kategori hirabah. Abdul Kadir Audah berkata:

“Hukum kumpulan manusia yang keluar dari ketaatan pemerintah tanpa takwil dan yang melawan dengan takwil tetapi tidak ada syaukah (kekuatan), pada sisi Imam Abu Hanifah dan Ahmad adalah hukum hirabah. Mereka akan diperlakukan di atas asas ini.”

5. Menentang kerajaan itu tidak semestinya menentang keseluruhan tiga institusi yang telah terpisah di dalam sistem pemerintahan moden; legislatif, eksekutif dan kehakiman. Tetapi menentang sebahagiannya juga adalah jenayah di dalam Islam. Abdul Kadir Audah berkata:

“Keluar dari ketaatan imam boleh jadi dengan cara melawan imam yang merupakan  ketua negara yang tertinggi atau pun melawan sesiapa yang mewakili imam.”

6. Ketiga-tiga jenayah ini mempunyai hukuman yang berbeza. Bagi jenayah bughahhukumannya adalah diperangi jika hanya boleh dileraikan kekuatan tersebut dengan perang. Bila perang berhenti dan golongan bughah telah kembali kepada ketataan pemerintah, mereka akan bebas menjadi warganegara yang aman. Bagi jenayah hirabah pula, hukumannya lebih berat iaitu salah satu daripada empat hukuman yang disebut di dalam ayat surah al-Maidah di atas. Manakala yang terbatal akad zimmahnya, kewarganegaraannya dibatalkan dan dia boleh dijatuhkan hukum buang negara.

7. Jika berlaku salah satu daripada tiga jenayah ini; bughah atau hirabah atau pembatalan akad zimmah, kerajaan boleh mengambil tindakan. Cuma diperincikan oleh ulamak apakah tindakan kerajaan itu. Adakalanya memang boleh sampai ke tahap menggunakan tentera dan adakalanya tidak sampai ke tahap itu. Ini semua bergantung kepada ijtihad kerajaan berdasarkan situasi yang berlaku.

Kesimpulan

Dari semua yang telah dikongsikan di atas, adalah jelas bahawa Malaysia adalah negara Islam dan perlu dinilai semua perkara berdasarkan neraca Islam. Dengan itu mengajak orang berkumpul dan menghasut orang ramai untuk mengubah status negara dan mengubah perlembagaan supaya jauh daripada prinsip Islam adalah satu jenayah. Kita tidak boleh menjatuhkan hukum kepada satu demonstrasi tanpa mengaitkannya dengan satu silsilah (rangkaian) usaha terancang yang panjang. Menjadi hak kerajaan untuk membenteras perkumpulan tersebut melalui apa-apa cara seperti yang diperincikan oleh fiqh Islam termasuklah jika terpaksa menggunakan kekuatan tentera. Hukum kategori orang ramai yang terlibat di dalam usaha menentang negara tersebut berkisar di sekitar samada bughahhirabah atau batal kontrak zimmah. Inilah hukum Islam jika isu ini dibincangkan dengan neraca Islam.

Wallahu a’lam.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Naib Presiden ISMA

Advertisements

Posted on January 21, 2014, in Uncategorized. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: